Hari ini. Jam ini. Saat ini. Keputusan untuk suatu yang penting bagi aku sudah keluar. Aku bagai kaku bila fikirkan semula. Renung kembali berapa lama masa perlu harung untuk menyiapkannya. Berapa banyak tenaga aku buang untuk ini benda. Berapa kali aku curah airmata untuk ini semata. Ya aku bicara serius. Ini bukan cakap-cakap kosong. Aku luaran tampak saja gila, ganas, kasar. Untuk beberapa masa aku juga rapuh. Jiwa aku kalut memikirkan segala macam perkara dalam satu masa.
Aku rasa aku sudah cuba yang terbaik walau untuk capai tahap biasa-biasa saja ini pun perit rasanya. Aku gegar satu semesta untuk cari semangat yang menyorok menjauh dari aku. Hilang melayang pada ketika itu. Aku pungut kasih teman-teman yang ada. Jatuhnya aku buat kali entah ke berapa. Menggagah diri berdiri juga biar tempang, luka, kecewa.
Waktu itu. Buat kali pertama aku ingin menyerah. Mulut kata biarlah. Seteruk mana pun keputusan nanti, remuk lagi jiwa aku. Parah lagi luka yang sudah ada. Penolakan dan penantian aku bagai sia-sia pada mereka. Sungguh. Aku pada masa itu lemah bagai aku hidup sendirian. Tak ada seraut muka pada jalan yang aku sedang lalu itu. Benci. Sedih. Songsang. Hanya rasa kepala di bawah dan begitu banyak kaki lalu menyepak, memijak. Teruk bayangannya lagi teruk bila kena.
Seharian tidur terganggu. Makan tak mahu. Minda bergerak dari satu titik ke titik yang lain. Sama. Berulang-ulang kali di situ juga. Tak kemana angannya. Ini yang aku rasa. Sebab peritnya dahulu melalui moment itu muncul semula menerjah setiap ruang yang aku ada. Taklukan ini. Jajah jiwa aku bagai tak memberi aku udara untuk cuba bernafas. Sesak walau nyawa masih ada. Rasa ini mungkin bagi mereka semua basi. Melodramatik. Bukan, Aku bukan suka-suka mahu garap rasa ini. Aku tak suka bila jiwa ditakluk satu benda semata. Hancur.
Fahamilah bahawa rasa ini tak ada yang elok. Tak ada yang senang. Tak ada yang seronok. Tak ada yang manis. Tak ada yang suka. Tak ada. Buat sementara. Aku tak mahu tahu kerana peritnya buat aku takut. Biar ia mahu selubung jiwa aku. Aku rela dari tahu sesuatu yang mungkin buat aku kecewa bila luka dulu aku harus lihat dan tayang pada dunia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment